Judul : Khairuddin 'Saman' Rosmah, Arah Dia Pulangkan Set Barang Kemas !
link : Khairuddin 'Saman' Rosmah, Arah Dia Pulangkan Set Barang Kemas !
Khairuddin 'Saman' Rosmah, Arah Dia Pulangkan Set Barang Kemas !
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan saman supaya mahkamah mengarahkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan set berlian merah jambu 22 karat kepada 1MDB.
Bekas naib ketua Umno Batu Kawan yang dipecat parti itu 2 tahun lalu juga mahu ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, membayar semua wang yang diseleweng daripada syarikat itu.
Khairuddin berkata beliau memulakan saman itu kerana tidak ada individu yang mengambil tindakan untuk menuntut barang kemas, yang merupakan antara yang disebut dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
“Pembayar cukai akan mendapat manfaat melalui pemulangan barang kemas itu kerana mereka adalah pembayar muktamad hutang 1MDB,” katanya.
DoJ bagaimanapun tidak menamakan Rosmah, sebaliknya merujuk kepada “isteri MO1”, iaitu “Malaysia Official 1”, rujukan diberikan kepada pegawai tertinggi 1MDB.
Khairuddin mahu Rosmah dan Jho Low membayar pampasan kepada 1MDB terhadap penyelewengan, penggunaan barang kemas dan apa-apa wang daripada dana itu.
Dalam writ dan kenyataan tuntutan yang difailkan semalam di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui e-filing, Khairuddin berkata beliau mahu Rosmah dan Jho Low membayar kos dan pelepasan lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar selepas pihak polis enggan menangkap Jho Low atas dakwaan kesalahannya melibatkan 1MDB.
Selain Rosmah dan Jho Low, Khairuddin turut menamakan 1MDB sebagai defendan ke-3 dalam samannya.
Beliau berkata 1MDB yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2009 untuk menggalakkan pembangunan ekonomi, tidak mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan kembali barang kemas itu kerana syarikat itu di bawah kawalan Najib.
Beliau memetik Artikel 117 dari Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB untuk membuktikan tiada apa-apa yang mendatangkan kesan tanpa arahan Najib.
Khairuddin berkata 1MDB memperoleh AS$6.5 bilion (RM27.93 bilion) dengan meminjam daripada peminjam luar negara dan syarikat itu pemilik wang tersebut.
Beliau berkata Jho Low, yang alamat terakhirnya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang melakukan kecurian atau pecah amanah terhadap pinjaman tersebut dan tidak mempunyai hak undang-undang atau ekuiti ke atas wang itu.
Beliau berkata antara Jun 2013 hingga Mac 2014, Jho Low, bertindak melalui agennya, Tan Kim Loong, membeli barang kemas daripada Loraine Schwartz di New York dengan harga AS$27.3 juta.
Beliau berkata Rosmah tidak mempunyai hak pemilikan terhadap harta 1MDB.
Khairuddin berkata barang kemas itu adalah hadiah yang diberi kepada Rosmah pada Mac 2014 dan dia mengetahui perkara itu.
“Defendan pertama (Rosmah) tidak memberi pertimbangan terhadap barang kemas tersebut. Oleh itu dia tidak mempunyai hak undang-undang dan ekuiti. 1MDB berhak mengambil balik barang kemas itu daripada Rosmah.”
Katanya, walaupun perhiasan itu milik 1MDB, syarikat itu tidak mengambil tindakan untuk mendapatkannya kerana ia berada di bawah kawalan Najib.
“Walaupun terdapat bukti kukuh wang itu dicuri dan disalahgunakan, 1MDB terus menafikan hakikat ini,” katanya.
DoJ memfailkan 2 tuntutan saman terhadap aset bernilai AS$1.8 bilion (RM7.7 bilion) yang didakwa dibeli dengan dana yang dicuri dari 1MDB.
Saman itu adalah tindakan undang-undang terbesar di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi DoJ.
Saman pertama difailkan pada 21 Julai tahun lepas di mana istilah “MO1” disebutkan sebanyak 36 kali.
Pada 15 Jun, DoJ berkata hampir AS$30 juta didakwa dicuri daripada dana yang diseleweng dan digunakan untuk membeli barang kemas untuk isteri “MO1”.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata mereka “prihatin dengan penamaan yang tidak perlu dan tidak sepatutnya mengenai hal tertentu dan individu yang hanya berkaitan dengan manipulasi dan gangguan politik dalaman”.
Najib menafikan sebarang salah laku.
Pada Julai, Jho Low berkata percubaan untuk mengaitkannya dengan pengakuan bersalah berkaitan 1MDB adalah berdasarkan kepada “andaian yang tidak berasas”, selepas pendakwa Singapura mengatakan dia menggunakan wang yang dapat dikesan mengunakan dana pelaburan strategik kerajaan Malaysia untuk keuntungan sendiri.
Dalam satu kenyataan, beliau juga menegaskan pihak berkuasa Malaysia mengatakan tidak ada bukti mengenai penyalahgunaan dana 1MDB.
“Tiada salah laku dibuktikan dalam mana-mana bidang kuasa yang berkaitan dengan dakwaan salahguna dana 1MDB, dan dakwaan di Singapura tidak mengubahnya.”
Rosmah juga menafikan menerima dana 1MDB. #sumber
Appear First on Khabar Melayu
Demikianlah Artikel Khairuddin 'Saman' Rosmah, Arah Dia Pulangkan Set Barang Kemas !
Sekianlah artikel Khairuddin 'Saman' Rosmah, Arah Dia Pulangkan Set Barang Kemas ! kali ini, mudah-mudahan bisa memberi manfaat untuk anda semua. baiklah, sampai jumpa di postingan artikel lainnya.
Anda sekarang membaca artikel Khairuddin 'Saman' Rosmah, Arah Dia Pulangkan Set Barang Kemas ! dengan alamat link https://khabarmelayu.blogspot.com/2017/08/khairuddin-saman-rosmah-arah-dia.html